Bentuk komuniti serantau

Oleh Afiq Hanif

PERMAINAN secara besar-besaran disebut sebagai ‘Multiplayer Online’ (MMO) adalah ciri pelbagai pemain video yang mampu menyokong beratus atau beribu pemain serentak.

Ia disambungkan menerusi Internet dengan akses pelayan khas dan biasanya menampilkan sekurang-kurangnya satu dunia khayalan yang berterusan.

Bagaimanapun, ia tidak semestinya permainan yang dimainkan di komputer peribadi PC) namun boleh diakses melalui konsol permainan yang baru termasuk PSP, PlayStation 3, Xbox 360, Nintendo DS dan Wii selagi memiliki akses Internet.

Selain itu, peranti mudah alih seperti telefon pintar berdasarkan sistem operasi Android, iOS dan Windows Phone juga memperlihatkan peningkatan bilangan game MMO yang disediakan.

Foto 
WoT...game MMO yang menarik.

MMO membolehkan pemain untuk bekerjasama dan bersaing antara satu sama lain pada skala yang besar di samping berinteraksi sesama sendiri tanpa mengira sempadan dunia.

Segmen MMO berteraskan grafik pertama menjadikannya kejayaan besar terutama dalam penciptaan genre termasuk penerbangan berbilang pemain beraksi dalam pertempuran simulasi permainan Air Warrior dibangunkan Kesmai dalam akses online Genie yang pertama kali muncul pada 1986.

Selepas itu, muncul beberapa game MMO baru yang lebih menarik seperti GemStone dan Neverwinter Nights pada awal 90an.

Salah satu game popular yang kini mendekati masyarakat Malaysia termasuk World of Tanks (WoT) dengan pengenalan sistem pelayan khas untuk rantau Asia Tenggara yang ditempatkan di Singapura bagi menampung akses sama kepada negara terbabit, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Wargaming.net, Victor Kislyi yang membangunkan WoT, syarikatnya mula mensasarkan pasaran Malaysia apabila menyaksikan peningkatan stabil industri game berasaskan MMO di negara ini.

“Kami mendapati Malaysia sebagai pasaran yang menarik untuk diteroka termasuk rantau terdekat apabila jumlah pemain game MMO terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata, syarikatnya merancang untuk memperkasakan game WoT yang dikategorikan dalam industri e-sukan bagi masyarakat dengan menggalakkan pertandingan setempat serta serantau secara besar-besaran.

“Sudah tiba masa kita menggiatkan usaha pembangunan e-sukan yang menarik di kalangan masyarakat,” katanya.

Sehingga kini, WoT mempunyai sejumlah 24 juta pemain dengan pendaftaran pemain kira-kira 50 ribu sehari.

“Lebih 800 ribu pemain aktif akan bertempur setiap hari di medan peperangan maya pada satu masa.

“Jadi dengan pengenalan pelayan khusus di Asia Tenggara, akses kepada game menjadi lebih pantas apabila kebanyakan pemain rantau ini menggunakan pelayan Amerika Syarikat untuk beraksi,” katanya.

Beliau memaklumkan, pihaknya akan mempromosikan pelayan Asia Tenggara kepada pemain sedia ada dalam usaha menggalakkan akses cepat di kalangan pemain.

“Kami juga memperkenalkan bahasa tempatan termasuk Bahasa Melayu, Mandarin, Tagalog dan Thai bagi membolehkan pemahaman lebih baik menggunakan game ini,” jelas Kislyi.

Wargaming.net mahu membawa anda ke dunia berasaskan kereta kebal dengan pembangunan yang bermula pada 2008.

Dunia kereta kebal dengan pertempuran 15 x 15 menarik anda dalam grafik yang menakjubkan, kawalan mudah dan pantas untuk belajar gerakan menyerang dan sistem RPG lengkap seperti memperbaiki kereta kebal anda.

Selain itu, ia menggabungkan pertempuran dalam pakej yang menenggelamkan imaginasi anda sehingga dalam pertempuran selama berjam-jam.

Dunia kereta kebal mempunyai kawalan menarik dengan pertempuran satu lawan satu seakan permainan Counter Strike. Betul, anda hanya perlu bayangkannya seakan game terbabit cuma tukarkan askar kepada kereta kebal.

Terdapat kawalan yang kompleks tapi pada asasnya anda hanya memerlukan butang WASD untuk pergerakan dan penggunaan asas tetikus untuk mensasarkan serta kawalan tembakan.

Namun, terdapat beberapa kawalan lebih rumit yang meningkatkan permainan dan anda akan perlu untuk belajar sebelum mampu bersaing tapi permainan ini sangat mudah untuk melompat ke bahagian permainan baru kalau anda tidak sukakan peringkat sama.

Anda boleh memainkan dunia kereta kebal menggunakan empat jenis termasuk USA, USSR, Jerman, atau Perancis.

Masing-masing mempunyai pelbagai jenis kereta kebal termasuk ciri tembakan cahaya, sederhana, berat, kereta kebal pemusnah atau senjata automatik dengan tahap kualiti paling menarik. WoT menguruskan permainan dengan hanya membenarkan kereta kebal tahap yang sama untuk bersaing dalam setiap pertempuran.

Senarai medan pertempurannya juga luas dengan 18 lokasi berlainan berkeupayaan grafik tinggi yang menarik perhatian.

Permainan WoT berasaskan tahun peperangan kurun ke-20 dengan tempoh pertempuran satu sesi memakan masa antara lima hingga 15 minit tapi ketagihannya mengakibatkan purata permainan berjumlah 3.2 jam setiap pemain.

Anda boleh mencipta mod game sendiri menerusi Epic Clan Wars menerusi strategi berlainan di kalangan rakan anda atau bersedia dengan mod sedia ada seperti Standard, Tank Company Battles dan Training Battles.

Sejumlah 150 jenis kereta kebal dibangunkan untuk game ini yang mengandungi fungsi, kelebihan dan serangan berbeza.

Menurut Kislyi, WoT mencipta satu komunikasi baru dengan segmen yang ‘niche’ kepada industri game membolehkan komuniti Asia Tenggara dibentuk apabila pemain berpeluang berkomunikasi dalam laman WoT.

“Masa depan MMO cerah di Asia Tenggara cuma ia perlu dilaksanakan secara sistematik dengan kerjasama pembangun game seperti kami,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, kesemua kereta kebal yang direka dibuat berasaskan spesifikasi sebenar kenderaan perang digunakan ketika dulu dengan penambahan imaginasi baru lebih realistik.

“Kelajuan, peluru dan sebagainya adalah betul-betul digunakan ketika zaman perang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/05/01

0 comments: