Fahami komponen, keupayaan PC

Oleh Afiq Hanif

PERANTI iPad yang dilancarkan pada 2010 dikatakan ‘sepak mula’ zaman pasca komputer peribadi (PC) yang sebelum ini dikuasai notebook dan desktop.

Ia digambarkan memberi idea baru dalam perkomputeran apabila ciri paparan boleh sentuh dan tanpa papan kekunci menukar gaya penggunaan PC pada zaman moden yang tidak pernah dibayangkan pencipta notebook atau desktop sebelum ini.

Sebenarnya, penciptaan IBM Simon pada 1992 dilancarkan pada 1992 menjadi titik pemula zaman pasca PC apabila ia digambarkan peranti mudah alih ketika itu.

Kira-kira 10 tahun ke belakang, Osborne I yang menjengah pasaran sekitar 1981 pula dianggap membayangi evolusi perkomputeran sebelum ia benar-benar digunakan manusia.

Foto 
 PC AIO...saiznya lebih kecil berbanding penggunaan monitor dan CPU yang berasingan.

Tetapi, tidak ramai yang memperkatakan mengenai PC semua dalam satu (AIO) apabila ia mula dilancarkan kira-kira tahun lalu.

Bagaikan disengat evolusi telefon pintar, PC AIO seakan hilang dari lukisan teknologi apabila pengguna lebih menumpukan penggunaan telefon pintar atau tablet yang dipasarkan hampir sama selepas itu.

PC AIO belum sempat menjadi pembuka sejarah, namun ia sebenarnya antara evolusi desktop paling unggul sejak komputer diperkenalkan.

Meskipun pengguna sering mengaitkan telefon dan tablet sebagai penyambung utama kepada dunia komunikasi seperti Internet, PC AIO mempunyai tarikannya tersendiri. Lihat saja tabiat penggunaan komputer di dunia.

Walaupun pengguna tampak ‘melekat’ dengan peranti mudah alih seperti telefon, laptop atau tablet sepanjang masa, PC masih menjadi mesin utama atau mesin paling puas untuk melayari Internet, bermain game atau membuat kerja sepenuhnya.

Tidak hairan, penggunaan PC masih relevan terutama jika anda berada di institusi pendidikan atau pejabat menjadikan PC AIO paling sesuai untuk digunakan atas beberapa faktor.

Selain teknologi, reka bentuk dan bahan yang digunakan antara unsur penting dalam pembikinan sistem perkomputeran baru terutama PC.

Perbezaan ketara antara PC AIO dan PC biasa ialah CPU dan monitornya dicantum pada satu kerangka menjadikan saiznya kompak dan mudah ditempatkan pada ruang yang kecil serta menggunakan kuasa elektrik lebih jimat.

Faktor terbabit menjadikan PC AIO antara peranti penting yang memberikan pengalaman perkomputeran menggabungkan keupayaan multimedia terhebat dengan reka bentuk, menyediakan kepelbagaian inovasi untuk nilai yang tiada bandingan serta pilihan terbaik sesuai dengan setiap isi rumah dan pejabat digital.

Ia ditambah nilai dalam persekitaran semasa memerlukan makna sebenar dalam kehidupan pengguna optimistik hari ini.

Pengguna inginkan standard yang lebih tinggi untuk mendapatkan pengalaman hiburan digital dan pelbagai pilihan lain untuk mening­katkan keperluan perkomputeran serta hiburan di sekitar tempat tinggal mereka.

Trend penggunaan PC di Malaysia ialah audio, video, digital media, kapasiti besar, prestasi tinggi, mudah digunakan dan kos rendah.

Oleh itu, kebanyakan vendor PC AIO sentiasa mengimbas persekitaran dan mengkaji pasaran selain mengamalkan strategi tidak akan membuat pengguna tahu mengenai apa komponen yang digunakan, sebaliknya memenuhi keperluan mereka menerusi peranti yang ditawarkan.

Walaupun pasaran PC desktop menguncup, pasaran PC AIO kian menjadi tarikan terutama di Malaysia yang dilihat ke arah pemilikan PC jenis itu.

Manakala situasi ekonomi dunia yang dialami hari ini mengkehendaki umum lebih berhati-hati apabila mengeluarkan belanja menjadikan PC AIO seakan pilihan bijak kepada mereka.

Sebelum anda memilih PC AIO, anda perlu memahami makna jargon komponen asas dan kesannya kepada persembahan dan keupayaan sesuatu PC. Maklumat ini dapat menjadi asas dalam pemilihan jenis dan kelajuan sesuatu PC.


Unit pemprosesan pusat atau CPU

Silikon kecil ini menjadi jantung kepada PC AIO kerana ia memproses berjuta-juta arahan setiap sesaat. Pemprosesan itu akan diterjemahkan kepada operasi yang dilihat pada skrin.

Lebih pantas kelajuan jam (clock speed) yang diukur dalam unit GHz, lebih pantas persembahan sesuatu PC.

Hari ini pemilihan minimum untuk PC ialah dengan pemprosesan berkelajuan hingga 4GHz kerana di masa terdekat pemprosesan lebih laju akan dikeluarkan.

Pada masa ini atau hujung tahun depan, kelajuan pemprosesan mungkin mencapai 6GHz.

Memandangkan penekanan bagi pemprosesan dan tugasan besar, CPU direka lebih pantas setiap masa agar lebih banyak arahan dapat diproses. Dan jenis CPU terkenal ialah dari Intel. Terdapat juga pemprosesan dari AMD.


Memori atau RAM

Memori ibarat gudang simpanan arahan sementara sebelum arahan itu dihantar ke CPU untuk diproses.

Dengan kehadiran memori, CPU tidak perlu mencari data atau sesuatu arahan dari cakera keras kerana ia lebih lambat berbanding RAM. Ini secara tidak langsung mempercepatkan persembahan keseluruhan sesuatu sistem PC.

Seperti juga bagi pemprosesan, lebih besar saiz RAM, lebih baik persembahan PC, terutama dalam penggunaan persekitaran GUI atau Windows 7 (mungkin Windows 8 nanti).

Saiz minimum ialah 2GB, tetapi pengguna digalakkan melengkapkan memori lebih tinggi, terutama jika menggunakan Windows 7.

Memori juga ada beberapa jenis. Secara am, memori SDRAM memberi persembahan lebih baik berbanding jenis HDD.


Cakera keras

Ini ialah gudang tetap kepada semua data digital dalam sistem PC. Semua maklumat, data, fail, rekod, aplikasi dan pemacu komponen akan disimpan di dalam cakera keras.

Saiz storan lazim hari ini ialah 500GB tapi pengeluar cakera mencapai kapasiti storan hingga 1TB tidak termasuk cakera keras mudah alih yang dijual berasingan.

Walaupun nampak besar, dengan saiz fail semakin besar serta penggunaan grafik, audio dan video, storan lebih besar digalakkan.


Resolusi paparan

Trend kini mendorong kepada penggunaan skrin bersaiz 21 inci dan tidak lagi 30 inci. Selain saiz, yang harus diberi penekanan adalah resolusi dan saiz piksel.

Paparan atau skrin yang perlu dipilih mempunyai piksel lebih halus kerana lebih kecil saiznya, lebih tinggi resolusi yang boleh dicapai oleh skrin PC.

Bagaimana keupayaan dan mutu paparan juga bergantung kepada kad grafik yang dilengkapkan.

Kad grafik adalah kad khusus yang melakukan pemprosesan unsur grafik bagi komputer.

Kebanyakan kad grafik juga dilengkapi dengan cip pemprosesan serta memorinya sendiri. Lebih tinggi keupayaan kad grafik, lebih baik paparan yang dihasilkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/02/21

0 comments: